UTM Juara Perbarisan Hari Wilayah Persekutuan 2008

Juara-juara! Syabas!

Kontinjen yang terdiri daripada 70 orang pelajar Universiti Teknologi Malaysia (UTM) City Campus, Kuala Lumpur telah melakar sejarah dengan menjuarai Pertandingan Perbarisan bagi kategori Persatuan, NGO, Perumahan Awam, IPTA &IPTS yang diadakan sempena Hari Wilayah Persekutuan bagi tahun 2008.

Hadiah kemenangan telah disampaikan oleh YAB Dato' Seri Abdullah bin Hj. Ahmad Badawi, Perdana Menteri Malaysia. Mereka membawa pulang hadiah wang tunai sebanyak RM 5000 dan Sijil Iringan mengalahkan 30 pasukan lain.

Kemenangan ini telah membuktikan semangat UTMost membawa kejayaan. Kesungguhan peserta mengikuti latihan intensif dibawah pimpinan En. Mohd. Faizal dan En. Maizi dari Unit Keselamatan serta sokongan yang padu diberikan oleh Ketua Bahagian Pejabat Hal Ehwal pelajar (HEP), Pn. Hjh. Siti Salamah bin Mohd. Shihab membuahkan hasil.

Kontinjen UTM diketuai oleh saudara Mohd Syakir bin Ahmad, pelajar tahun 2 Diploma Kejuruteraan Elektronik, Kolej Sains dan Teknologi. Sesuatu yang menarik mengenai kontinjen ini adalah mereka bukanlah kumpulan pelajar dari pasukan beruniform tetapi atas semangat yang tinggi untuk mencuba sesuatu yang positif dan memiliki semangat berkumpulan yang mantap telah memudahkan mereka mempelajari kemahiran kawad kaki dengan begitu cepat.

Pemilihan warna tema yang tepat iaitu kuning, merah dan biru juga telah banyak membantu memperolehi markah yang tinggi. Pemilihan tersebut adalah berdasarkan warna rasmi Wilayah Pesekutuan. Konsep reka pakaian yang simple & corporate look menampakkan perbezaan yang ketara antara kontinjen UTM dengan pesaing yang lain.

Selain itu, tumpuan yang sepenuhnya diberikan semasa melalui pentas utama juga merupakan strategi yang bijak telah digunakan oleh kontinjen ini bagi mendapat perhatian daripada pihak juri.

Pejabat HEP sentiasa komited terhadap usaha pelajar yang bertujuan untuk menaikkan nama UTM di persada nasional dan antarabangsa. Semoga dengan kejayaan ini akan menjadi sumber inspirasi kepada yang lain agar sentiasa berusaha untuk menjadi juara dalam setiap acara yang disertai kelak.

 

0 ulasan: