Puan Siti Hairani Mislam Berpindah

Puan Siti Hairani Mislam yang bertugas sebagai Penolong Akauntan di pejabat UPPK Kuala Lumpur akan berpindah dan mula bertugas di Pejabat Bendahari UTM Skudai bermula 1 Januari 2008.


Beliau yang mula bertugas di UPPK Kuala Lumpur semenjak 15 Jun 2005 telah mendirikan rumah tangga dengan sorang pensyarah di UTM Skudai kira-kira 3 bulan yang lalu. Pejabat Pendaftar telah meluluskan permohonan beliau untuk berpindah ke Johor. Tempat beliau pula akan digantikan dengan seorang staf dari Pejabat Bendahari UTM Skudai.

Pejabat UPPK telah mengadakan jamuan ringan dan menyampaikan cenderahati kenang-kenangan pada hari Jumaat 28/12/2007 sempena perpindahan Puan Siti Hariani dan mendoakan agar beliau memperolehi kerjaya yang lebih cemerlang di tempat baru nanti.

Terima kasih dan jumpa lagi!

0 ulasan Pautan pada catatan ini  

UPPK Berkerja Keras


Hazly yang keliru apabila kamera dihalakan kearahnya...

UPPK kini berada didalam fasa pertengahan dan sedang bertungkus lumus memasukkan data markah kedalam sistem sebelum diproses untuk Mesyuarat Jawatankuasa Akademik yang pada awalnya dijadualkan pada 27/12/2007 tetapi terpaksa ditunda ke 31/12/2007 atas sebab-sebab teknikal yang tidak dapat dielakkan.

Nazri yang bertangan kidal dengan skill tangan kanan yang diluar batasan...

Staf-staf pengurusan akademik yang berada di pejabat UPPK kini bertugas 24 jam / 7 hari seminggu bagi memastikan urusan mesyuarat dapat dijalankan pada tarikh yang telah ditetapkan, walaupun pada masa yang sama terdapat faktor-faktor kekangan yang seolah-olah cuba untuk mencabar fizikal dan mental hero-hero UTM ini.

Teruskan bersama blog kami setiap hari di sini....

0 ulasan Pautan pada catatan ini  

UTM dan Universiti Meiji Meterai Perjanjian

Tan Sri Prof. Ir Dr Mohd Zulkifli (kiri) bertukar-tukar dokumen perjanjian dengan Presiden Universiti Meiji, Prof. Hiromi Naya di UTM Kuala Lumpur semalam.

Kedudukan UTM dalam rangking dunia dijangka meningkat setelah universiti itu menjalinkan kerjasama dengan Universiti Meiji dari Jepun dalam pelbagai bidang. Selain itu, kerjasama itu juga akan meningkatkan jumlah pelajar asing untuk menyambung pengajian mereka di UTM ekoran peningkatan rangking universiti itu.

Menurut Naib Canselor UTM, Tan Sri Prof. Dr. Mohd Zulkifli bin Tan Sri Mohd Ghazali berdasarkan rangking terkini berdasarkan penilaian Times Higher Education Supplement (THES), UTM berada di tempat 415 daripada 500 universiti terbaik dunia.

"Selepas kerjasama ini,kami yakin akan dapat menghuni tangga 200 terbaik dunia melalui jalinan kerjasama inovatif dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D), pendidikan serta penganjuran seminar bertaraf dunia," katanya.

Semalam, UTM dan Universiti Meiji menjalin memorandum perjanjian (MOA) bagi kerjasama tersebut di kampus UTM Jalan Semarak di sini. Majlis itu turut dihadiri oleh Duta Jepun ke Malaysia, Masahiko Horie dan Presiden Universiti Meiji, Prof. Hiromi Naya.

Zulkifli memberitahu, kerjasama itu turut membolehkan pihak Universiti Meiji membuka pejabat satelitnya yang akan beroperasi sepenuhnya tahun depan di kampus UTM Jalan Semarak.

"Untuk permulaan, tiga orang kakitangan Universiti Meiji akan ditempatkan di pejabat satelit itu. "Kerjasama ini akan menjadi jambatan kepada Malaysia dan Jepun meningkatkan lagi pembangunan industri dan kemajuan pendidikan dengan penemuan teknologi terkini," katanya.

Menurut Zulkifli lagi, UTM merancang untuk menubuhkan pejabat satelit di Emeriah Arab Bersatu (UAE) untuk menarik pelajar antarabangsa menyambung pengajian di universiti itu.

Sementara itu, Hiromi berkata, kerjasama strategik dengan UTM dapat meningkatkan lagi mutu pendidikan terutamanya penerokaan teknologi terkini dan canggih yang dapat dimanfaatkan kedua-dua pihak.

0 ulasan Pautan pada catatan ini  

Pengambilan Pelajar Baru Program Kerjasama UTM


Klik untuk paparan yang lebih jelas

Program Kerjasama UTM kini sedang membuat pengambilan pelajar untuk kemasukan Sesi 2 2007 / 2008. Kepada lepasan SPM yang mempunyai syarat dan kelulusan seperti didalam iklan diatas adalah digalakkan untuk memohon terus kepada Pusat Kerjasama seperti yang tertera diatas. Cepat! Jangan Lepaskan Peluang untuk mendapatkan Diploma UTM!!

0 ulasan Pautan pada catatan ini  

Dasar Baru Pinjaman PTPTN

Adalah dimaklumkan bahawa semua pelajar yang ingin memohon pinjaman PTPTN hendaklah mengemukakan Borang (OMR) permohonan sebelum akhir bulan Disember 2007. Mulai 1.1.2008 semua permohonan baru pinjaman PTPTN wajib mempunyai Akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN).

1.0 DASAR-DASAR BARU PINJAMAN

1.1 Pemohon / ibu / bapa / penjaga pemohon yang sah hendaklah mempunyai akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) mulai 01 Januari 2008, mengikut syarat-syarat yang ditetapkan oleh PTPTN dari semasa ke semasa.

1.2 Pengecualian pembukaan akaun Skim Simpanan Pendidikan Nasional (SSPN) diberikan kepada pelajar yatim piatu, pemohon / ibu bapa / penjaga yang sah menerima bantuan bulanan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat / Pusat Zakat. Namun demikian setiap permohonan hendaklah dibuktikan dengan mengemukakan dokumen-dokumen yang telah ditetapkan.

2.0 PENGGUNAAN BORANG OMR

2.1 Tempoh sah laku penggunaan borang OMR (Siri F) - PTPTN-P-01/1-2004 Pin.2 hanya sehingga 31 Disember 2007. Mulai 01 Januari 2008 hanya borang OMR (Siri G) - PTPTN-P-01/1-2004 Pin.3 dan borang OMR (Siri H) PTPTN-P-01/1-2004 Pin.4 hanya sah diterima pakai.

2.2 Pemprosesan borang-borang tersebut (berlainan siri) hendaklah dibuat secara berasingan. Ini bertujuan mengurangkan kesilapan dan tugas-tugas yang dibuat secara manual.

3.0 DOKUMEN SOKONGAN

3.1 salinan Kad Pengenalan pemohon (muka hadapan dan belakang dibuat salinan pada muka surat yang sama)

3.2 Salinan Surat Tawaran dari IPT

3.3 salinan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) (bagi yang mengemukakan salinan slip keputusan peperiksaan SPM, hanya slip yang tidak melebihi tempoh 2 tahun dari tahun peperiksaan diambil boleh diterima pakai)

3.4 salinan transkrip keputusan peperiksaan dan sijil kelayakan masuk lain. Contoh: STPM / Diploma / Matrikulasi / Ijazah Sarjana Muda / Ijazah Sarjana (Master) (sila sertakan surat pengesahan tamat pengajian dari IPT yang mengendalikan kelayakan masuk tersebut jika pemohon belum menerima sijil dan pada transkrip peperiksaan juga tidak dinyatakan bahawa pelajar telah menamatkan pengajian / layak dianugerahkan sijil)

3.5 salinan buku akaun bank (muka surat yang tercatat nombor akaun) / Slip / Pengesahan nombor akaun bank yang telah ditetapkan oleh IPT masing-masing.

3.6 salinan terkini Borang Cukai Pendapatan (B/BE/EA/EC) / Slip Gaji / Kad Pesara / Borang Pengesahan Pendapatan Ibu Bapa / Penjaga dan Pasangan Penjaga / Pemohon dan Pasangan.

3.7 salinan kad pengenalan ibu dan bapa kandung. Sekiranya ibu atau bapa kandung meninggal dunia / tidak dapat dikesan, sila sertakan salinan sijil kematian / akuan sumpah.

3.8 salinan surat pengesahan / surat akuan daripada Jabatan Kebajikan Masyarakat / Pusat Zakat, sekiranya pemohon / ibu / bapa / penjaga merupakan penerima bantuan bulanan dari agensi berkenaan.

0 ulasan Pautan pada catatan ini