Naib Canselor Beramah Mesra Dengan Pelajar Baru Sempena MHS 2008/2009

Y.Bhg. Tan Sri Prof. Dr. Mohd. Zulkifli mengucapkan Tahniah dan Selamat Datang
kepada salah sorang pelajar baru sempena Majlis Perasmian MHS sesi 2008/2009


Program Minggu Haluan Siswa (MHS) seperti mana setiap tahun sekali lagi diatur padat dengan pelbagai program sempena kemasukan pelajar baru bagi sesi 2008/2009. Bermula dengan sesi pendaftaran pada 29 Jun, MHS akan berlangsung sehingga 5 Julai 2008, melibatkan pengambilan pelajar program Diploma Kolej Sains dan Teknologi UTM City Campus Kuala Lumpur.

Majlis perasmian MHS telah disempurnakan oleh Yang Berbahagia Tan Sri Prof. Dr. Mohd. Zulkifli bin Tan Sri Mohd. Ghazali, Naib Canselor UTM di Dewan Besar UTM City Campus Kuala Lumpur pada hari Isnin, 30 Jun 2008. Turut hadir pada majlis tersebut, Yang Berbahagia Prof. Dr. Hamdani bin Saidi, Pengarah Kampus, Prof. Ir. Dr. Azhari Md. Salleh, Dekan Kolej Sains dan Teknologi, Puan Hajah Siti Salamah binti Mohd. Shihab, Ketua Jabatan, Pejabat Hal Ehwal Pelajar dan ketua-ketua jabatan UTM City Campus Kuala Lumpur.

Yang Berbahagia Naib Canselor sewaktu berucap pada majlis tersebut, menyentuh mengenai penekanan Universiti untuk melahirkan graduan yang cemerlang, gemilang dan terbilang, selaras dengan seruan Perdana Menteri Malaysia.

Dalam usaha membangun sebuah Universiti bertaraf antarabangsa tambah beliau, bidang sains dan teknologi perlu dipertingkatkan bagi mencapai piawaian badan-badan penilaian, khususnya berkaitan inovasi dan daya cipta. Disamping itu jelas beliau lagi, adalah penting bagi pelajar untuk meningkatkan penguasaan dan pengukuhan Bahasa Inggeris serta pembacaan akhbar-akhbar utama Negara.

Terdahulu, Majlis Aluan Pengarah Kampus telah diadakan pada hari Ahad, 29 Jun 2008 bertempat di Dewan Besar, UTM City Campus Kuala Lumpur. Dalam ucapan aluan yang disampaikan, Yang Berbahagia Prof. Dr. Hamdani bin Saidi, Pengarah Kampus menyeru para pelajar agar bersedia untuk mengubah cara berfikir serta melakukan ‘anjakan minda’ dalam usaha menghadapi proses transformasi sebagai mahasiswa dan mahasiswi di Universiti.

Beliau menambah, persediaan ke arah ini perlu bermula dengan azam, tekad dan perjuangan yang baru, di samping berusaha untuk menjadi individu yang berjaya di peringkat glokal dan global.

Dengan tema “Membina Ketahanan Menghadapi Cabaran”, antara program yang disediakan sepanjang MHS sesi 2008/2009 ialah Ceramah Penyalahgunaan Dadah, Ceramah Pelan Integriti Nasional (PIN), Ceramah Pengurusan Wang dan Forum Islam Hadhari.

 

0 ulasan: