UTM cipta alat kesan banjir - UTUSAN

JOHOR BAHRU 25 Mac – Universiti Teknologi Malaysia (UTM) berjaya mencipta Sistem Amaran Banjir Fotoniks (SABF) bagi mengesan bencana alam itu dengan lebih pantas.

Ketua Pusat Teknologi Fotoniks Fakulti Kejuruteraan Elektrik UTM, Prof. Dr. Abu Bakar Mohammad berkata, SABF merupakan sistem yang mampu memberi amaran mengenai kenaikan paras air kepada penduduk yang menggunakannya.

Menurutnya, sistem itu juga dapat menyelamatkan nyawa dan kerosakan harta benda yang mencecah jutaan ringgit setiap kali banjir melanda, terutamanya banjir kilat yang sering berlaku di kawasan bandar.

“Apa yang membanggakan setiap satu set sistem ini mampu memberi khidmat kepada 250 pelanggan dan boleh ditambah dengan kad SIM Modul Identiti Pelanggan (Subscriber Identity Module) yang lebih besar.

“Pada dasarnya sistem ini mempunyai tiga kelebihan iaitu boleh menghantar khidmat pesanan ringkas (SMS) mengenai banjir yang berlaku, paras air berjaga-jaga dan paras berbahaya.

“Sistem ini juga boleh beroperasi dengan sebarang pengendali khidmat telekomunikasi selular seperti 019, 012, 013 dan 017,” katanya pada sidang akhbar di sini hari ini.

Prof. Dr. Abu Bakar berkata, sistem itu menggunakan kaedah fotoniks iaitu cahaya untuk mengesan kenaikan air dan menghantar isyarat kepada unit pemerosesan yang akan memproses isyarat paras air dan kemudian menghantar SMS kepada pelanggan.

Katanya, kelebihan kaedah fotoniks berbanding kaedah lazim yang menggunakan logam ialah ia mampu beroperasi dari jarak jauh, bebas kejutan elektrik dan menggunakan kuasa elektrik rendah.

Menurutnya, sistem itu disasarkan penggunaannya di kawasan yang sering dilanda banjir kilat sehingga menimbulkan fobia di kalangan penduduk setiap kali hujan lebat.

“Harga pasaran setiap set dijangka kurang daripada RM10,000 yang boleh dikongsi oleh penduduk di sesebuah kawasan perumahan atau kampung dan jika dilihat dari jumlah pelanggan yang boleh menerima khidmat bagi satu sistem, harganya hanya kira-kira RM40seorang,” katanya.

Jelas beliau, bagi menyiapkan sistem itu, pihaknya mengambil masa enam bulan dengan dibantu oleh Prof. Madya, Dr. Norazan Mohd. Kassim; Prof. Madya, Dr. Abu Sahmah Mohd. Supaat; Dr. Sevia Mahdaliza Idrus Sutan Nameh; Dr. Mohd. Haniff Ibrahim; Norhafizah Ngajikin dan Ahmad Hassan.

Beliau berkata, keberkesanan sistem itu telah diuji oleh dua pihak berkuasa tempatan iaitu Majlis Perbandaran Johor Bahru Tengah (MPJBT) dan Majlis Daerah Kulai.

Katanya, kejayaan mencipta alat tersebut membolehkan Fakulti Kejuruteraan Elektrik meraih pingat emas pada Ekspo Teknologi Malaysia yang berlangsung di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 21 Februari lalu.

 

0 ulasan: