Pastikan UTM diiktiraf universiti penyelidikan, Sultanah Johor


JOHOR BAHARU: Canselor Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Sultanah Zanariah Tunku Ahmad menggesa warga pendidik UTM khususnya Naib Canselor berusaha lebih gigih bagi memastikan UTM diiktiraf sebagai universiti penyelidikan.

Dengan jumlah siswazah melebihi 100,000 sejak penubuhannya, baginda yakin UTM akan mampu mencapainya dan diiktiraf di peringkat global atas kemampuan melahirkan graduan yang berkualiti.

"Naib canselor dan pensyarah perlu berusaha lebih gigih lagi bagi memastikan UTM akan tersenarai bersama-sama universiti universiti yang telah diiktiraf di peringkat global," titah baginda pada majlis konvokesyen ke40, UTM, di Skudai dekat sini pada hari Sabtu.

Seramai 2,223 orang graduan UTM menerima ijazah masingmasing pada konvokesyen kali ini dengan 33 graduan merupakan penerima Ijazah Doktor Falsafah (PhD), 489 (Sarjana), 89 (Diploma Lepasan Ijazah), 1,399 (Sarjana Muda) dan 213 (Diploma).

Pada majlis pagi ini, Sultanah Zanariah turut berkenan menganugerahkan Ijazah Kehormat Doktor Pengurusan kepada Presiden Universiti Meiji, Jepun, Profesor Hiromi Naya.

Penganugerahan itu merupakan tanda penghargaan UTM kepada Universiti Meiji atas pelbagai sumbangan termasuk penubuhan sebuah pejabat satelit universiti itu di kampus UTM, Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

Konvokesyen kali ini turut menyaksikan seramai lapan penerima Ijazah Sarjana Muda adalah graduan usahasama UTM dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), manakala 422 penerima Ijazah Sarjana Muda dan 38 diploma adalah graduan Sekolah Pendidikan Professional dan Pendidikan Berterusan (SPACE) UTM.

Seramai 78 penerima merupakan graduan antarabangsa dari 18 buah negara termasuk Libya seramai 19 orang, Indonesia (18), India (5), Bangladesh dan Sudan masing-masing empat orang.

Pada majlis itu, Kamaruddin Othman yang mengambil kursus Sarjana Muda Kejuruteraan Mekanikal dan Ummu Tasnim Husin, Sarjana Muda Sains (Matematik) dipilih sebagai penerima Anugerah Canselor.

Sementara pasangan suami isteri Salasun Naim Mohd Zain, 47, dan Rohidah Samadi, 48, warga emas Zainon Kassim, 50, dan Mohd Asrof Mohd Sapie, 32, yang menghidap rabun merupakan penerima anugerah SPACE.

Ketika ditemui selepas majlis itu, Mohd Asrof berkata kecacatan yang dialaminya tidak menjadi penghalang untuk melanjutkan pelajaran.

"Saya guna pita rakaman dan memperbesarkan tulisan bagi menelaah dan mengulang kaji pelajaran," kata graduan Sains dan Pendidikan Pengajian Islam itu.

Bagi Kamaruddin, 24, dan Ummu Tasnim, 22, ibu bapa dan kejayaan kakak dan abang menjadi pendorong mereka berdua sebagai anak bongsu untuk berjaya.

"Abang dan kakak memberi saya kekuatan untuk berusaha dengan gigih, tapi saya tidak sangka akan cemerlang seperti ini, syukur pada Tuhan," kata Kamaruddin.

Ummu Tasnim berkata beliau meminati subjek matematik sejak kecil kerana bapanya merupakan guru matematik.

"Mana tumpah kuah kalau tidak nasi. Ayah bekas guru matematik, jadi secara tidak langsung saya meminati subjek Matematik sejak kecil hingga sekarang," katanya.

BERNAMA

 

0 ulasan: