Selamat Kembali Ke Kampus!

Pejabat ini ingin mengucapkan selamat kembali ke kampus kepada semua pelajar Program Kerjasama UTM di seluruh Malaysia dan semoga akan lebih gigih lagi dalam menempuhi alam pembelajaran dan pendidikan untuk Semester 2 Sesi 2007/2008 ini.

Kepada yang telah berjaya dengan cemerlang pada keputusan peperiksaan semester lalu, kami ucapkan syabas dan tahniah manakala pada yang kurang memberangsangkan, moga dapat melipat gandakan usaha dan lebih fokus terhadap kuliah dan pembelajaran. Selalu dampingi mereka yang berjaya jikalau anda mahu berjaya.

Dapatkan nasihat yang terbaik daripada pensyarah dan jelaskan segala kekeliruan dengan bertanya kepada yang tahu terutamanya kepada Pengarah, Pengurus ataupun Penyelaras Akademik Program Kerjasama UTM sendiri.

Rajin-rajinlah mengulangkaji dan melihat contoh soalan semester yang lepas dari sebermula kelas perkuliahan. Bagi yang berkeputusan Kedudukan Baik (KB), rancanglah masa depan pembelajaran anda dengan mengambil beban kredit yang bersesuaian namun tidak boleh kurang dari 10 kredit, terkecuali bagi kes-kes tertentu seperti semester akhir, latihan industri dan sebagainya.

Lebih penting lagi untuk pelajar ber Kedudukan Bersyarat (KS), pastikan pendaftaran anda tidak melebihi 9 kredit dan terlebih dahulu mengulang matapelajaran (UM) kursus-kursus yang pernah gagal terlebih dahulu. Mengulang gred bagi kursus-kursus yang tidak mempunyai gred yang baik adalah amat digalakkan sama-sekali. Namun harus di ingat! Mengulang Gred (UG) hanya dibenarkan sekali sahaja untuk subjek berkenaan disepanjang tempoh pengajian!

Sekian dahulu buat masa ini, jumpa lagi dan "Selamat Kembali Ke Kampus!"

 

0 ulasan: