Mesyuarat Penambahbaikan Diploma Teknologi dan Tatacara Perlaksanaan Program Pengukuhan

Kuala Lumpur 21 Januari, Unit Pengurusan Program Kerjasama telah melaksanakan dua mesyuarat penting bagi membincangkan isu semasa yang berkaitan dengan Program Kerjasama UTM.

Pada sebelah pagi telah berlangsung mesyuarat berkenaan penambah baikan Diploma Teknologi yang telah dipengerusikan oleh Dekan UPPK. Mesyuarat tersebut turut dihadiri oleh Dekan dan Timbalan Dekan Kolej Sains dan Teknologi. Mesyuarat selama 2 jam itu telah membincangkan secara dasar mengenai kurikulum terkini Diploma Teknologi bagi menyelaraskannya mengikut format yang dituntut oleh Agensi Kelayakan Malaysia (MQA) atau dahulunya lebih dikenali sebagai (LAN).

Antara perkara penting yang dibincangkan secara terperinci adalah mengenai usaha-usaha penambah baikan terhadap Program Diploma Teknologi yang turut juga menganugerahkan secara berkembar Sijil Kemahiran Malaysia dari Majlis Latihan Vokasional Kebangsaan.

Turut hadir pada mesyuarat tersebut adalah wakil dari Kolej Tentera Laut, Tentera Darat, PSDC dan Unity College.

Pada sebelah petangnya pula, Timbalan Naib Canselor Akademik dan Antarabangsa Prof Ir. Dr Siti Hamisah Tapsir telah mempengerusikan satu lagi mesyuarat yang sangat penting berkaitan tatacara perlaksanaan program pengukuhan bagi pelajar-pelajar yang memasuki Program Kerjasama UTM kurang dari syarat penuh.

Mesyuarat yang berlangsung penuh teliti dan ilmiah itu telah mendapat banyak maklumbalas serta cadangan-cadangan positif daripada wakil Pusat Kerjasama. Mesyuarat tersebut telah berlangsung hampir kira-kira 1 setengah jam dengan akhirnya keputusan secara muafakat telah dicapai daripada pihak UTM dan Pusat Kerjasama.

Ramai Ketua-ketua Eksekutif dari Pusat Kerjasama yang telah hadir dan mengucapkan terima kasih atas keprihatinan dan maklumbalas yang pantas dari UTM hasil daripada Mesyuarat Jawatankuasa Tetap Senat Keputusan Peperiksaan Program Kerjasama yang lalu terutamanya berkaitan pelajar-pelajar yang mengambil subjek pengukuhan.

UPPK mengucapkan terima kasih kepada semua pihak yang telah hadir dan sama-sama memberikan pandangan, cadangan serta kerjasama penuh atas perkara-perkara dasar yang telah diperbincangkan secara panjang lebar semasa mesyuarat tersebut.

 

0 ulasan: