Hijrah Ke Arah Hidup Lebih Lestari

ESOK bermula tahun baru Hijrah 1429. Seperti biasa, umat Islam seluruh dunia menyambut kedatangan tahun baru Hijrah dengan doa dan azam untuk memperbaiki diri, keluarga, masyarakat, negara dan ummah seluruhnya.

Hijrah dalam konteks takwim merujuk kepada peristiwa perpindahan Nabi Muhammad SAW dari Makkah ke Madinah pada 8 Rabiulawal bersamaan 20 September 622M. Dari segi pembinaan ummah, konsep hijrah melebihi sekadar catatan masa dan takwim.

Hijrah, menurut Ismail Raji al-Faruqi, menandakan permulaan masyarakat Islam sebagai sebuah sistem sosial dan kenegaraan.

Dalam al-Quran, kata dasar h-j-r digunakan dalam pelbagai keadaan, misalnya untuk meninggalkan perbuatan dosa (menyembah berhala) (Muddatsir: 5), memisahkan isteri dari tempat tidur (An-Nissa': 34), menjadikan al-Quran sesuatu yang tidak diacuhkan (Al-Furqan: 30), menjauhi mereka (orang yang mendustakan) dengan cara yang baik (Al Muzammil: 10), berpindah ke tempat yang diperintahkan Allah (Al Ankabut: 26), berhijrah pada jalan Allah (An Nisa': 89, Al-Anfal: 72).

Hijrah menandakan suatu pembaharuan, pembaikan dan peningkatan dalam pelbagai segi kehidupan, tidak terhad kepada aspek spiritual saja. Dari segi pemikiran, hijrah mendorong pembinaan minda positif, proaktif dan lestari.

Dengan keyakinan tinggi, minda positif dan mengharap keredaan Allah SWT, maka Musa'ab bin Umair sanggup berhijrah meninggalkan harta, kedudukan dan kemewahannya di Makkah.

Demikian juga Abu Bakar as-Siddiq yang berfikiran proaktif bahawa hijrah ke Madinah akan membuka lembaran baru kehidupan beragama sehingga sanggup berkorban menemankan Nabi Muhammad SAW dalam perjalanan penuh dramatik meninggalkan bumi Makkah.

Dalam konteks semasa, konsep hijrah perlu terus dikumandangkan dan direalisasikan. Ini sesuai dengan tabii ajaran Islam yang mendorong umat-Nya menuju kejayaan dunia dan akhirat. Konsep hijrah ini juga perlu untuk menggerakkan umat Islam yang ketika ini masih belum mencapai tahap membanggakan dari segi pembangunan dan kemajuan duniawi.

Sehubungan itu, konsep hijrah wajar dilihat dari perspektif ketamadunan dan pembangunan lestari. Ini selari dengan gagasan Islam Hadhari seperti dikemukakan Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi.


Maknanya, hijrah bukan sekadar pembinaan minda dan peningkatan tahap kerohanian individu, bahkan merangkumi seluruh umat Islam dan meliputi seluruh aktiviti kehidupan daripada berkeluarga sehingga aspek ketamadunan, seperti pelestarian alam sekitar.

Alam sekitar tidak terhad kepada aspek estetika dan kebersihan fizikal semata-mata. Hakikatnya keseimbangan alam sekitar memberi kesan ketara kepada keharmonian dan kesejahteraan hidup selari dengan kemajuan negara serta kemakmuran bumi.

Tanpa rimbunan pokok, maka tadahan hujan untuk bekalan air akan mengurang. Tanpa hutan maka keupayaan menyerap gas karbon dioksida di atmosfera akan berkurangan. Tanpa udara yang bebas bahan cemar, maka kesihatan awam terancam.

Ajaran agama -tidak terhad kepada Islam - menjelaskan peranan alam sekitar sebagai salah satu unsur terpenting aspek ketuhanan dalam konteks kosmologi.

Ajaran Islam pula menjelaskan kedudukan alam sekitar yang kudus dan tertib. Itulah rasionalnya alam sekitar dikemukakan sebagai salah satu teras Islam Hadhari.

Pelestarian dan kepentingan alam sekitar disebutkan secara tersurat dan tersirat dalam banyak ayat al-Quran dan hadis. Dalam surah Ali Imran (ayat 191) misalnya, Allah berfirman yang bermaksud: "(iaitu) orang yang mengingati Allah sambil berdiri atau duduk atau dalam keadaan berbaring dan mereka memikirkan mengenai penciptaan langit dan bumi (seraya berkata): `Ya Tuhan kami, tiadalah Engkau menciptakan ini dengan sia-sia. Maha Suci Engkau, peliharalah kami daripada seksa neraka".

Ayat ini menunjukkan bahawa alam sekitar fizikal dan seluruh cakerawala adalah tanda kebesaran Allah Yang Maha Pencipta. Orang beriman sentiasa berusaha menjadikan alam sekitar terpelihara dan bersih, bukan saja dalam keadaan aman, malah ketika peperangan.

Ajaran Islam mengajar umatnya supaya melestarikan alam sekitar kerana di sebalik kehijauan hutan dan kebiruan langit, tertera ayatullah yang memperlihatkan sifat Allah Yang Maha Kuasa dan Maha Pencipta.

Sehubungan itu, tahun baru hijrah ini sewajarnya mencetuskan kesedaran baru untuk memperteguhkan komitmen terhadap pelestarian alam sekitar. Setiap umat Islam sewajarnya memperbaharui tekad untuk memantapkan lagi minda lestari dan mengurangkan tapak ekologi masing-masing.

Ini boleh dilakukan dengan mengurangkan penghasilan sisa dan mengoptimumkan penggunaan sumber tenaga, air dan bahan mentah dalam kehidupan harian.

Negara Islam pula perlu lebih proaktif mencari peluang untuk menyumbang mengimarahkan bumi dan mengurangkan kesan pemanasan global. Hal ini penting kerana negara Islam nampaknya tidak menonjol membantu warga alam merealisasikan Protokol Kyoto.

Apatah lagi untuk menyerlahkan komitmen terhadap inisiatif pasca Protokol Kyoto selepas 2012. Secara tidak langsung, keadaan ini menunjukkan kepada dunia seolah-olah ajaran dan umat Islam tidak peka kepada isu global yang ketika ini menjadi fokus media dan agenda penting peringkat antarabangsa.

Umat Islam hanya menjadi 'penerima' bukannya 'penyumbang' dalam konteks Mekanisme Pembangunan Bersih (CDM). Oleh itu, tahun baru Hijrah 1429 ini wajar dijadikan titik bermula untuk lebih komited melestarikan alam sekitar.


Negara Islam juga perlu menyatakan komitmen dalam konteks perancangan untuk melaksanakan pembangunan lestari secara lebih konkrit. Sebagai contoh, Sweden meletakkan sasaran 2020, negara itu tidak lagi memerlukan minyak sebagai sumber tenaga.

Ini kerana minyak adalah hidrokarbon utama yang menyumbang kepada pemanasan global. Amerika Syarikat -walaupun tidak menandatangani Protokol Kyoto - sudah memulakan inisiatif mengurangkan pelepasan gas rumah kaca di sektor automobil 25 peratus menjelang 2016 berbanding 2006.

Persoalannya, apakah sasaran dan komitmen warga dan negara Islam dalam konteks pelestarian alam sekitar pasca Protokol Kyoto?

PROF DATUK DR ZAINI UJANG, Timbalan Naib Canselor (Penyelidikan dan Inovasi) Universiti Teknologi Malaysia

- Dipetik dari Akhbar Berita Harian, RABU 9 Januari 2008

 

0 ulasan: