UTM dan Universiti Meiji Meterai Perjanjian

Tan Sri Prof. Ir Dr Mohd Zulkifli (kiri) bertukar-tukar dokumen perjanjian dengan Presiden Universiti Meiji, Prof. Hiromi Naya di UTM Kuala Lumpur semalam.

Kedudukan UTM dalam rangking dunia dijangka meningkat setelah universiti itu menjalinkan kerjasama dengan Universiti Meiji dari Jepun dalam pelbagai bidang. Selain itu, kerjasama itu juga akan meningkatkan jumlah pelajar asing untuk menyambung pengajian mereka di UTM ekoran peningkatan rangking universiti itu.

Menurut Naib Canselor UTM, Tan Sri Prof. Dr. Mohd Zulkifli bin Tan Sri Mohd Ghazali berdasarkan rangking terkini berdasarkan penilaian Times Higher Education Supplement (THES), UTM berada di tempat 415 daripada 500 universiti terbaik dunia.

"Selepas kerjasama ini,kami yakin akan dapat menghuni tangga 200 terbaik dunia melalui jalinan kerjasama inovatif dalam bidang penyelidikan dan pembangunan (R&D), pendidikan serta penganjuran seminar bertaraf dunia," katanya.

Semalam, UTM dan Universiti Meiji menjalin memorandum perjanjian (MOA) bagi kerjasama tersebut di kampus UTM Jalan Semarak di sini. Majlis itu turut dihadiri oleh Duta Jepun ke Malaysia, Masahiko Horie dan Presiden Universiti Meiji, Prof. Hiromi Naya.

Zulkifli memberitahu, kerjasama itu turut membolehkan pihak Universiti Meiji membuka pejabat satelitnya yang akan beroperasi sepenuhnya tahun depan di kampus UTM Jalan Semarak.

"Untuk permulaan, tiga orang kakitangan Universiti Meiji akan ditempatkan di pejabat satelit itu. "Kerjasama ini akan menjadi jambatan kepada Malaysia dan Jepun meningkatkan lagi pembangunan industri dan kemajuan pendidikan dengan penemuan teknologi terkini," katanya.

Menurut Zulkifli lagi, UTM merancang untuk menubuhkan pejabat satelit di Emeriah Arab Bersatu (UAE) untuk menarik pelajar antarabangsa menyambung pengajian di universiti itu.

Sementara itu, Hiromi berkata, kerjasama strategik dengan UTM dapat meningkatkan lagi mutu pendidikan terutamanya penerokaan teknologi terkini dan canggih yang dapat dimanfaatkan kedua-dua pihak.

 

0 ulasan: